Resepi ini diperolehi daripada Majalah Wanita terbitan bulan November 2010 semasa Kak Noor sedang mengemas buku-buku lama untuk dibuang di pejabat tempoh hari. Nama chefnya pun Kak Noor dah lupa. Sekadar hanya dapat mengingati resepinya sahaja.
Sebenarnya resepi asal inti sardin roll menggunakan inti sardin yang tidak dimasak, hanya mengambil isi sardinnya sahaja (kuahnya dibuang) dan terus diadun dengan bahan-bahan lain. Memandangkan Kak Noor dan keluarga tidak berapa menggemari isi sardin yang diadun sebegini, maka Kak Noor menggunakan kaedah menumis untuk menyiapkan intinya.
Sardin Roll yang telah siap diletak inti |
Kaedah menggoreng/membakar menggunakan marjerin |
Bagi menggoreng sardin roll ini, Kak Noor tidak menggunakan minyak; hanya meletakkan sedikit marjerin di atas kuali leper. Dalam erti kata lain, seperti kaedah membakar ikan di atas kuali leper menggunakan margerin. Dengan menggunakan kaedah ini, minyak kurang menyerap di dalam roti.
Bahan-bahannya:
1 buku roti sandwich, apa-apa jenama pun bolehMarjerin secukupnya untuk menggoreng roti
Bahan-bahan untuk membuat inti:
425 gm sardin di dalam tin - Kak Noor guna jenama cap ayam
1 labu bawang besar - dicincang halus
1 biji limau kasturi
1 biji cili merah dihiris
Daun sup/daun bawang dihiris halus
2 sudu besar mayonis
Garam
Marjerin untuk menumis
Cara-cara memasak inti sardin:
1. Panaskan marjerin di dalam kuali. Tumis bawang besar sehingga kekuningan.
2. Masukkan sardin dan masak sehingga kuah sardin agak kering.
3. Perahkan limau kasturi dan perasakan dengan garam. Jika inginkan pedas, boleh masukkan hirisan cili merah. Kacau rata dan kemudian tutup api.
4. Alihkan sardin yang digoreng tadi ke bekas lain. Gunakan garpu untuk menghancurkan isi sardin. Kemudian letakkan mayonis, daun sup dan daun bawang. Kacau dengan garpu supaya diadun dengan baik. Dah siap pun inti.
Tepung gandum dibancuh dengan air menjadi seperti gam.
Penyediaannya:
1. Gelek roti hingga nipis. Kemudian letakkan inti sardin di dalamnya. Sapukan gam tepung di tepi-tepi roti agar iamelekat ketika digulung nanti.
2. Kemudian gulung roti tersebut dan di hujung kedua-dua roti tekan dengan garpu agar ia menjadi sardin roll yang cantik.
3. Panaskan kuali. Letakkan marjerin secukupnya untuk menggoreng sardin roll ini. Gunakan api yang sederhana bagi mengelakkan sardin roll rentung. Kaedah menggoreng ialah apabila sebelah telah agak kekuningan dan garing, alihkan ke sebelah lain.
4. Lebih sedap makan ketika masih panas kerana ketika ini roti masih garing lagi.
0 comments: