Monday, March 11, 2013

Masak Lemak Lobak Putih




Kak Noor suke….. sangat masakan sayur ni. Kalau tak makan dengan nasi, Kak Noor ratah sayur sahaja. Sebenarnya masak lemak lobak putih ini adalah masakan nostalgia…. Teringat semasa zaman kanak-kanak, nenda Kak Noor selalu juga masak sayur ini. Bagus untuk menyejukkan badan katanya. Setakat itulah yang Kak Noor faham tentang khasiat sayur ni semasa zaman kanak-kanak. Al maklumlah semasa kanak-kanak dulu, leka bermain ke sana ke sini tanpa mengira cuaca panas.  Bila makan sayur ni, sejuklah badan kot!

Tetapi itulah… anak-anak kita tidak gemar lobak putih ini. Mereka mungkin kenal lobak merah, tetapi tidak lobak putih. Mungkin juga tidak banyak fakta yang didedahkan mengenai sayur lobak putih ini kepada umum dan kita jarang mengetengahkan dan mempelbagaikan masakan berunsur lobak putih dalam resepi harian kita. Mungkin juga disebabkan resepinya amat terhad. Kebiasaannya digoreng dan dibuat sup.   Tetapi sebenarnya lobak putih ini banyak khasiatnya. Antaranya ialah:

Lobak putih banyak khasiatnya
· Bermanfaat bagi gigi, gusi, saraf, rambut, dan kuku
· Merangsang nafsu makan
· Meringankan gugup dan darah gemuruh
· Baik untuk mereka yang menghadapi masalah pernafasan
· Mengatasi masalah pencernaan
· Meredakan sembelit
· Baik untuk mereka yang menghidap bronchitis, sakit tenggorok, asma, batuk dan selesema
· Membantu mengurangkan kelebihan berat badan atau obesity dan melarutkan batu empedu.
· Baik untuk pesakit diabetes
· Baik untuk mereka yang mengalami masalah kencing kurang lawas



Oopps! Dah melalut pula dengan info lobak putih ni… hanya sekadar berkongsi ilmu dengan rakan-rakan semua. kita terus ke resepi masak lemak lobak putih ni. Kita guna teknik merebus sahaja.

Bahan-bahannya:
1 batang lobak putih saiz sederhana – dipotong bulat nipis
2 cawan pati santan – dicampur dengan 1 cawan air (gunakan cawan yang sama)
1 sudu besar udang kering – dibasuh bersih dan ditoskan
1 biji bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 biji cili merah – dihiris
Sedikit soun – direndam sehingga lembut dan toskan.
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara memasaknya:
Masukkan semua bahan di atas kecuali soun di dalam periuk dan rebus naik sehingga kuah mendidih. Dalam masa yang sama, kacau selalu supaya santan tidak pecah. Dalam masa yang sama, rasa kuahnya. Tambahkan gula atau garam untuk menepati citarasa yang diinginkan. Setelah kuah mendidih, masukkan soun. Kacau seketika, kemudian tutup api.

Tips:Hidangan sampingan yang disyorkan bersama masak lemak lobak putih ini ialah sambal tumis udang, ikan kering gelama masin goreng dan kicap sebagai penambah perisa.

Masak Lemak Lobak Putih Rating: 4.5 Diposkan Oleh: jagostu

0 comments:

Post a Comment