Resepi ini Kak Noor `cedok' dari blog CMG. Cuma dalam resepi ini Kak Noor guna sotong biasa, CMG guna sotong kembang. Kebiasaannya Kak Noor guna resepi `warisan' untuk memasak sambal tumis sotong petai ini. Tetapi bila tengok resepi CMG ini, teruja juga untuk mencubanya. Ada tambahan buah keras dan halia. Mungkin kedua-dua bahan ini yang menimbulkan citarasa berlainan daripada sambal tumis yang biasa Kak Noor masak. Petai pula Kak Noor beli yang telah siap dikopek (fresh punya le...) di pasar malam Jelatek, berdekatan dengan LRT Jelatek. Katanya petai kampung. Kalau guna petai kampung bertambah sedaplah sambal tumis ini. Petai kampung juga dipanggil dengan nama petai padi.
Petai padi (gambar disalin dari blog Firhan Eidzuddi). Memang segar petai padi ni kan! |
Sedikit maklumat mengenai petai padi ini yang ingin Kak Noor kongsi bersama. Mkalumat ini Kak Noor perolehi dari blog Firhan Eidzuddi . Petai padi adalah petai yang paling digemari kerana bijinya tidak terlalu pahit dan kelat. Disebabkan itu ia sering digunakan di dalam masakan atau sebagai ulaman dalam kalangan masyarakat di negara ini. Secara umumnya biji petai mengandungi kalsium, fosforus, zat besi serta kaya dengan vitamin A, B1, B2 dan C. Khasiat petai lebih dilihat sebagai ulam-ulaman, seperti juga ulam raja, pegaga, jering dan kerdas yang lazim dimakan segar dan mentah oleh masyarakat di negara ini. Kandungan klorofil di dalamnya berfungsi sebagai agen antioksidan yang baik untuk kulit di samping memastikan kesegaran tubuh badan dan memperbaiki sistem penghadaman si pengamalnya. Bagaimanapun, ada juga pendapat yang menyatakan kulit akar petai mampu mengubati penyakit diabetes manakala pucuknya pula mampu menyejukkan badan yang panas
Menurut hubby Kak Noor, kebiasaannya petai yang dijual di pasar raya adalah petai siam. Petai siam ini kurang sikit sedapnya. Rasanya tak lemak manis macam petai padi. Kak Noor pun tak tahu nak bezakan petai siam ngan petai kampung. Hanya Yang Arif hubby Kak Noor yang dapat membezakan `wajah' petai siam dengan petai padi. Apapun, hubby Kak Noor memang peminat setia ulam petai. Kalau makan nasi tak ada lauk pun tak apa, yang penting mesti ada petai untuk dijadikan ulam, walaupun tak ada sambal belacan. Boleh bertambah nasi you all.... Tabik kepada hubby Kak Noor ni!
Resepi asal : Che Mat Gebu (Sambal Tumis Sotong Petai)
SAMBAL TUMIS SOTONG PETAI PADI
Bahan-bahannya :
600 gram sotong basah - dipotong gegelang
100 gram petai padi yang telah siap dikopek
1 biji bawang besar, potong kasar
1/2 camca besar pes asam jawa
2 senduk nasi penuh cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis
Bahan-bahan dikisar halus:
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 biji buah keras, dihiris
1/2 inci belacan
Cara membuatnya:
1. Sotong disiang dan dibersihkan. Kemudian dipotong gegelang (lebih kurang 2 cm). Ketepikan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan kacau rata.
3. Tambah petai dan sotong, kacau rata dan masak sekejap. Perasakan dengan garam secukupnya dan gula. Akhir sekali masukkan bawang hiris, kacau dan masak hingga bawang layu. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk-lauk lain.
0 comments: