Kebiasaannya bila cuti hujung minggu begini, pagi-pagi lagi Kak Noor dan hubby akan ke pasar mencari lauk pauk dan sayur-sayuran untuk seminggu. Biasalah orang bekerja kan.... pada hari-hari biasa kebanyakan masa di pejabat sahaja. Bila balik kerja, tengok mood dulu, kalau sempat Kak Noor masak, kalau tak sempat main tunjuk-tunjuk aje kat kedai (lauk segera lah tu...).
Di dalam peti ais tu memang dah clear lauk pauk. Hanya tinggal daging sahaja. Tak rajin sangat nak pergi ke pasar hari ini. Ingat esok aje.... Hari ini Kak Noor dan hubby mempunyai agenda sendiri, iaitu mengemas rumah dan membuang benda-benda lama yang telah lama menjadi khazanah arkib dalam rumah ini. Lagipun tak lama dah nak puasa. Masa bulan puasa, tenaga pun kurang, dah tak larat nak buat kerja-kerja berat lagi.So... kalau dah sibuk tu... masak pun ala kadar saja Cuma gunakan apa yang ada di dalam peti ais. Masakan yang paling senang ialah sup campur. Banyak jugalah bahan-bahan yang Kak Noor masukkan di dalam sup campur ini. Gadingan lauk ini ialah sambal belacan, ulam-ulaman dan ikan goreng. Sedia dimakan dengan nasi yang masih panas. Walaupun ringkas, masih bisa membuka selera.....
Bahan-bahannya:
300 gm daging (direbus)
2 sudu besar serbuk lada hitam kasar
1/3 biji lobak merah - dipotong dadu
3 - 5 biji ubi kentang saiz kecil - dipotong kecil
Bunga kobis (banyaknya - dipotong kecil
1 batang daun saderi - dipotong dadu
1/2 biji cili benggala warna kuning - dipotong dadu
1 - 2 biji cili padi - diketuk
2 paket kecil soun - direndam di dalam air sehingga lembut dan ditoskan
1 kiub ayam Knorr
Garam secukupnya
Daun sup/daun bawang
2 sudu besar minyak untuk menumis
Bahan-bahan untuk ditumis:
2 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
Cara-caranya:
1. Rebus daging sehingga empuk. Selepas empuk, asingkan daging daripada air rebusan dan biarkan daging sejuk. Ketepikan air rebusan kerana air ini akan digunakan untuk membuat sup. Bila daging telah sejuk, bolehlah dipotong dadu. Perapkan daging dengan serbuk lada hitam kasar selama lebih kurang 10 - 15 minit.
2. Panaskan minyak di dalam periuk yang lain. Tumis bawang merah, bawang putih, dan halia sehingga naik bau. Kemudian masukkan daging, cili benggala, cili padi, dan batang daun saderi. Gaul rata dan masak selama 1- 2 minit.
3. Kemudian masukkan air rebusan daging tadi. Perasakan dengan garam dan masukkan kiub ayam. Masak sehingga mendidih.
4. Setelah sup mendidih, masukkan ubi kentang dan lobak merah. Masak sehingga kedua-duannya empuk.
5. Kemudian masukkan bunga kobis dan soun. Masak sehingga sup mendidih sekali lagi dan tutup api.
6. Taburkan daun sup/daun bawang dan bawang goreng. Tutup periuk.
0 comments: