"Marhaban Ya Ramadhan"
Selamat Menunaikan Ibadah Puasa
Semoga hidup kita selalu diberkati
di bulan yang penuh mahrifa
Selamat Berpuasa Kak Noor ucapkan kepada semua pengunjung blog Sajian Dapur Bonda. Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur untuk menikmati Ramadhan tahun ini. Semoga segala amalan ibadat kita di bulan yang mulia ini dan bulan-bulan yang seterusnya diterima oleh Allah S.W.T. dan dosa-dosa diampunkan. Semoga kita senantiasa dirahmati dan diberi hidayah olehNYA. Insya Allah.
Di bulan Ramadhan yang mulia ini Kak Noor ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingkatkan kepada rakan-rakan semua dan diri Kak Noor sendiri supaya tidak membazir bila tiba waktu berbuka.Sepatutnya pada bulan Ramadhan inilah kita boleh berjimat cermat kerana kita perlu mengeluarkan belanja untuk makan pagi, makan tengah hari, dan makan petang. Kita cuma perlu berbelanja untuk makan malam sahaja; dalam erti kata yang lain untuk berbuka puasa sahaja. Tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya di mana kita berbelanja lebih daripada hari-hari biasa. Cuba lihat di sekeliling kita, terutamanya di bazar Ramadhan pada waktu petang, semasa orang pulang bekerja. Setiap orang akan singgah di bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa seperti lauk pauk dan kuih muih. Tak kira le... kalau lauk dan kuih tu mahal sekalipun, tetap dibeli juga. Bagi para peniaga pula, bulan Ramadhan adalah bulan rezeki bagi mereka. Di bulan inilah mereka dapat mencari duit lebih. Mereka tak perlu risau, jualan garenti habis. Ini kerana ramai orang yang sekarang yang mengejar masa terutamanya bagi mereka yang berkerja, dan mereka ini lebih cenderung untuk membeli makanan di bazar Ramadhan untuk berbuka.
Insya Allah untuk tahun ini Kak Noor akan cuba sedaya upaya untuk tidak membeli terlampau banyak makanan di bazar Ramadhan. Kalau dulu penuh tangan ini menjinjing beg plastik, tetapi tahun ini Kak Noor bertekad untuk memasak lauk pauk sendiri. Lagipun tahun ini pihak pengurusan jabatan Kak Noor bekerja telah memutuskan waktu pulang di bulan Ramadhan ialah jam 4.30 petang dibandingkan tahun lalu 5.00 petang. Alhamdulillah... dapatlah Kak Noor pulang awal ke rumah untuk menyediakan juadah berbuka puasa buat suami dan anak-anak. Tapi untuk juadah kuih muih tu..... Kak Noor masih membeli di bazar Ramadhan. Kalau buat sendiri, boleh makan satu jenis sahaja. Tetapi kalau beli, boleh pilih dua tiga jenis.
Dan di bulan Ramadhan yang mulia ini juga Kak Noor akan cuba berusaha untuk memuatkan sebanyak resepi yang boleh, terutamanya dari segi masakan lauk-pauk yang Kak Noor sediakan pada setiap hari di sepanjang bulan Ramadhan ini.
Dan di bulan Ramadhan yang mulia ini juga Kak Noor akan cuba berusaha untuk memuatkan sebanyak resepi yang boleh, terutamanya dari segi masakan lauk-pauk yang Kak Noor sediakan pada setiap hari di sepanjang bulan Ramadhan ini.
Wassalam.
0 comments: